31 Mei 2009

HARI TANPA TEMBAKAU SEDUNIA

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menetapkan Hari Tanpa Tembakau Sedunia pada 31 Mei setiap tahun. Tema pada tahun ini ialah ' Amaran Kesihatan Bergambar' (Tobacco Health Warning). Maka jatuhlah pada hari ini. Bagaimana, hari ni anda ada isap rokok tak? Kepada sesiapa yang merokok cuba-cubalah berhenti merokok untuk hari ni, tapi berhenti terus lagi baik. Macam saya memang tak merokok, hidu bau asapnya pun dah buat sakit kepala.
Jadi, bersempena dengan hari ini saya nak berkongsi info sikit pasal Hari Tanpa Tembakau Sedunia ni. Apa tujuan sebenar Hari Tanpa Tembakau Sedunia ni?


Tujuannya adalah untuk:
  • meningkatkan kesedaran tentang masalah kesihatan berkaitan penggunaan tembakau.
  • mendedahkan bahaya sebenar tabiat merokok.
  • memberi sokongan penuh kempen anti merokok di kalangan perokok dan bukan perokok.
Tema sambutan 2009
“ Amaran Kesihatan Bergambar”  (Tobacco Health Warning)
  • Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan pelaksanaan amaran kesihatan bergambar yang merupakan antara usaha paling berkesan dalam menangani epidemik tembakau sedunia.
  • WHO menggariskan amaran kesihatan bergambar merangkumi lebih daripada separuh saiz kotak rokok, diletakkan di kedua-dua belah kotak serta disertai dengan gambar.
Kempen iklan Amaran Bergambar di Malaysia:
  • 1 Februari 2009-Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memulakan kempen ini.
  • Mulai ! Jun 2009-semua jenama rokok di pasaran tempatan diwajibkan memapar amaran bergambar pada kotak masing-masing.
  • KKM menggariskan amaran bergambar merangkumi 60% dan 40% daripada saiz kotak rokok di setiap belah kotak.


Keburukan merokok? Saya rasa ramai dah tahu banyak keburukanya. Lagipun info mengenai bahaya merokok banyak diiklankan di Majalah, Surat Khabar, Radio dan TV. Tak perlulah saya ceritakan kat sini. 
Kenapa anda perlu berhenti merokok? Ini antara jawabnya:
  • Melindungi Orang Lain. Bila anda merokok, orang lain turut menyedut asap rokok anda. Anda perokok aktif dan orang di sekeliling anda menjadi perokok pasif. Mana yang mati dulu? Jawabnya, anak anda, isteri anda, ibu dan ayah anda. Semuanya sebab anda!
  • Menjadi Teladan Yang Baik. Tunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak anda. Kanak-kanak lebih cenderong untuk merokok sekiranya salah seorang atau kedua-dua ibu bapa mereka merokok.
  • Meningkatkan Deria Rasa dan Hidu. Keupayaan deria untuk merasa dan menghidu akan meningkat dan kembali pulih seperti sediakala sama ketika anda belum menjadi perokok.
  • Kulit Lebih Sihat. Merokok mengakibatkan kulit tidak mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, oleh itu sel-sel baru tidak dapat membentuk dengan sempurna. Perokok biasanya cepat beruban, kulit tidak berseri dan cepat berkedut terutamanya di sekeliling mata dan mulut.
  • Nafas Lebih Segar. Nafas akan lebih segar dan tidak berbau busuk apabila anda berhenti merokok.
  • Gigi Lebih Putih. Merokok mengotorkan gigi anda. Merokok menyebabkan gigi anda berwarna kuning berkarat dan menjejaskan senyuman anda.
  • Rambut dan Pakaian Tidak Berbau Busuk. Asap rokok meninggalkan kesan bau busuk pada rambut dan pakaian anda. Anda akan dapat merasakan perbezaannya apabila anda berhenti merokok.
  • Menjimatkan Wang.
  • Melindungi Alam Sekitar. Asap rokok mencemarkan udara dan alam sekitar.
  • Kesuburan Meningkat. Amalan merokok boleh menyebabkan kelainan pada sperma dari segi mobiliti atau keupayaan bergerak, struktur tidak normal dan juga bilangan sperma yang berkurangan.
  • Kelakian Berkurangan. Merokok boleh menyebabkan impoten atau mati pucuk. Ini ialah kesan langsung ke atas keupayaan mendapatkan ereksi atau ketegangan pada alat kelamin yang terjejas akibat pembuluh darah pada alat kelamin tersebut menjadi lemah.
Bagi anda yang Islam, merokok adalah perbuatan yang haram:-

   1. Majlis Fatwa Negeri Kedah - Merokok adalah HARAM.
   2. Majlis Fatwa Negeri Perlis - Menanam tembakau/merokok dan menfaatkan hasil tembakau adalah
       HARAM berpandukan dalil-dalil serta nas-nas Al-Quran, hadis dan pendapat para ulama yang
       muktabar.
   3. Majlis Fatwa Negeri Selangor - Merokok adalah HARAM.
   4. Majlis Fatwa Negeri Sarawak - Merokok adalah HARAM dari pandangan Islam kerana padanya
       terdapat kemudaratan pada kesihatan dan pembaziran pada perbelanjaan.

Jika anda terasa ingin merokok lakukan tips di bawah:
  • Tarik nafas 3 kali secaara perlahan-lahan
  • Kunyah gula-gula getah atau buah-buahan tepi elakkan benda manis.
  • Basuh tangan kerana basuh tangan mengelakkan anda memegang rokok.
  • Lengahkan masa 5 minit atau katakan tunggu sebentar sebelum menyalakan rokok.
  • Minum air masak dan elakkan minuman berkafien.
  • Alihkan perhatian anda! banyakkan aktiviti sihat, bersenam, meditasi dan mandi dengan kerap.
  • Elakkan diri dari tempat merokok dan daripada perokok lain.
INFOLINE BERHENTI MEROKOK
03-8883 4400
Isnin - Jumaat, 8 pg - 5 ptg

Ok..diharap info ini dapat membantu mengurangkan merokok.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan